Thursday, February 12, 2009

nasihat ustazku

Assalamu’alaikum Wth. Wbt…
Segala puji hanya untuk Allah SWT, puja puji paling sempurna dan tinggi, Selawat dan salam khusus buat Nabi Junjungan SAW, kepada keluarga Baginda yang suci, para sahabat Baginda yang baik-baik, serta pengikut jejak langkah dakwah dan ibadah Baginda sehingga ke hujung masa…

Adikku…
Ujian, semua manusia akan merasainya dan itulah Sunnatullah yang pasti terjadi… Kerana limpahan kasih sayang Nya SWT, Dia memberikan ujian sesuai dengan ketahanan dan tahap keimanan seseorang hamba Nya… Semakin kuat iman seseorang itu, semakin tinggilah ujian yang akan diberikan kepadanya…

Tujuan ujian, hanya 1, iaitu untuk menaikkan darjat seseorang hamba di sisi Nya SWT… Mungkin lebih dekat jika kita bayangkan ujian itu seperti peperiksaan di bangku sekolah… Lebih tinggi tahap pendidikannya, semakin sukar pula ujiannya/soalannya… Malah lebih mencabar cara pembelajarannya… Justeru, semakin bernilai dan tinggi pula sijil yang diperolehinya…

Setiap orang menghadapi ujian tidak sama… Ada orang yang lemah jiwanya, dengan ujian yang sedikit, mereka kecundang… Mudah ditipu belit oleh syaitan yang sentiasa membisikkan was-was hatinya terhadap Allah SWT… Na’uzubillah… Bisikan-bisikan itu kadangkala sangat menekan jiwanya, sehingga tergelincir dari landasan keimanan… Mereka mula menyalahkan Allah SWT… Mereka kecundang… Kalah… Mudahnya, tak kandas periksa, tak dapatlah sijil yang diharapkan…

Tapi bagi orang yang imannya kukuh, ujian adalah anugerah nikmat yang sangat manis… Mereka faham kenapa Allah SWT berikan ujian itu kepada mereka… Mereka sedar siapa diri mereka sebagai hamba, yang tidak layak untuk mengeluh dengan pemberian Allah SWT… Mereka dengan Allah SWT ibarat sang kekasih, biar buruk dipandangan orang lain, kekasih tetap menyanjung tinggi cinta hatinya… Mereka menang… Biasalah, orang berjaya markahnya tinggi, sijilnya berharga…

Ada orang menyangka kesusahan, kesedihan, kesempitan, kekurangan, doa tidak terkabulkan adalah tekanan hidup yang sangat dibenci… Sedangkan itu adalah mehnah (galang ganti) kepada dosa, supaya tidak dikenakan azab diakhirat… Jika dia berjaya melaluinya, maka Allah SWT bayar lelahnya dengan Syurga… Dan ada orang sangat senang (hingga leka untuk bersyukur) dengan kemewahan, kesenangan, kelapangan, kebahagiaan, dan doa terkabul, sedangkan di dalamnya juga ada ujian… Iaitu, ujian untuk menilai ketinggian rasa syukurnya… Tapi kadang kala mereka tenggeam dengan nikmat, lalu hanyut dibawa arus nafsu… Akhirnya dengan nikmat yang tidak terbayar itu, mereka berhutang dengan Allah SWT, maka dicampakkan mereka ke neraka…

Justeru, hayatilah firman Nya untuk kekuatan hati kita tatkala menerima ujian : “Kadang kala kamu suka sesuatu itu (kamu sangka ia baik untuk kamu) sedangkan ia sebenarnya tidak baik untuk kamu, dan kadangkala kamu membenci sesuatu berlaku (kerana kamu sangka ia menyusahkan kamu) sedangkan itulah yang baik bagi kamu, (ketahuilah) Allah Maha Tahu (rahsia pemberian Nya) sedangkan kamu tidak mengetahui (perkara ghaib)…”

Dan jangan hendaknya kita jadikan diri kita seperti firman Nya : “Adapun manusia (yang lemah imannya) apabila diuji oleh Allah SWT dengan kemuliaan dan kelapangan hidup, mereka berkata : Tuhan memuliakan aku… Tetapi apabila diuji oleh Allah SWT dengan kehinaan dan kesempitan hidup, mereka mengeluh : oh…kenapa Tuhan menghina aku…”

Oleh itu, ujian itu sebenarnya ada dimana-mana, dan dengan bermacam cara… Kuncinya 2, seperti sabda Nabi SAW dalam hadis Qudsi : “ Allah SWT berfirman… Aku kagum dengan peribadi mukmin sejati… apabila diuji dengan nikmat, mereka BERSYUKUR, maka mereka Aku berikan kebaikan, dan apabila diuji dengan kesusahan, mereka BERSABAR, maka Aku berikan mereka kebaikan lagi… Sungguh Aku sangat kagum dengan orang mukmin…”
Muhasabahlah…

Daripadaku seadanya,
Al Faqir Wal Haqir Ila Rabbihil A’la…
Ustaz ad Ramly bin Abdul Rahim Al Qari’
Melaka…

1 comment:

pegimatir said...

tazkirah tok ak!!!
fatin emalina y sentiasa alpa..